Islamic – ☆Tadabbur Kalamullah 8 Zulkaedah 1441H☆

t.me/tadabburkalamullah/1870

☆Tadabbur Kalamullah 8 Zulkaedah 1441H☆

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu” [Surah al-Maidah 91]

#Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah, bergaduh, bermusuhan dan berkonflik antara satu sama lain. Salah satu perbuatan yang boleh menyebabkan manusia bermusuhan dan berseteru ialah berkaitan budaya fitnah. Fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan kerana ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan dan kedamaian sesama mereka.

#Walaupun ayat ini ditujukan kepada penjudi, peminum arak atau pemabuk tetapi syaitan bercita-cita agar kita sentiasa bermusuhan antara satu sama lain. (Ibrah itu diambil dari lafaz yang umum, bukan sebab nuzulnya semata-mata).

#Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat): “Fitnah merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda”.

#Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

1. Apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

2. Apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

#Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat semakin berleluasa dalam masyarakat kita pada saat ini. Syaitan telah berjaya menjadikan kita umat Islam hidup dalam fitnah, sentiasa bertelagah dan bermusuhan.

الفِتْنَةُ نَائِمَةٌ لَعَنَ اللهُ مَنْ أَيْقَظَهَا

“Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya”. (Riwayat ar-Rafi’e. Dha’if tetapi makna nas sahih)

#Ini jelas menunjukkan bahawa hukum fitnah adalah haram dan ditegah oleh Islam. Perbuatan fitnah ini terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Nabi saw mengecam keras perbuatan fitnah dengan sabdanya:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)” (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Bahkan mereka bakal diseksa sedahsyat-dahsyatnya:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [Surah an-Nur 19]

#Marilah kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua.

#Marilah kita banyakkan berdoa dan munajat agar Allah swt memelihara kita daripada fitnah dan terkena fitnah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِهِمْ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ

“Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka”(HR Abu Daud)

اللَّهُمَّ أَنْتَ عَضُدِي وَأَنْتَ نَصِيرِي وَبِكَ أُقَاتِلُ

“Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan denganMu aku berperang” (HR at-Tirmizi)

♡Perbuatan fitnah akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Bertaubatlah dan jauhi budaya fitnah♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Leave a comment