Adnan Menderes – Perdana Menteri yang syahid di tali gantung
Ali Adnan Ertekin Menderes merupakan seorang negarawan dan pimpinan pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah Turki. Adnan Menderes menjawat jawatan Perdana Menteri Turki di antara tahun 1950 sehingga ke 1960.
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Adnan Menderes bekerja bersungguh-sungguh untuk membawa perubahan dalam budaya dan sistem kenegaraan di Turki yang pernah menjadi tapak kepimpinan Islam di dunia antarabangsa.
Kesungguhan Adnan untuk mengembalikan Turki kepada sistem yang lebih Islamik telah dibuktikan apabila beliau berjaya membawa banyak perubahan yang positif.
Di antaranya ialah:
1. Azan kembali dilaungkan dalam bahasa Arab (dalam bahasa Turki di zaman Ataturk)
2. Membuka kembali ribuan masjid-masjid di seluruh negara yang telah ditutup di sepanjang era pemerintahan Atatürk
3. Kerajaan Turki mula membina kembali hubungan dengan negara-negara Arab dan negara-negara Islam
4. Membuat perubahan polisi ekonomi yang memberi keadilan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan bawahan
5. Bahkan pernah dalam ucapannya di Parlimen Turki, beliau mengatakan bahawa perundangan Islam boleh dikembalikan sekiranya majoriti ahli-ahi parlimen ingin berbuat demikian.
Polisi beliau yang semakin popular di kalangan masyarakat awam ini juga telah turut disokong oleh Cemal Gürsel, Ketua Turus Angkatan Tentera Turki. Namun polisi ini telah ditentang sekuat-kuatnya oleh golongan sekuar di kalangan para intelek, para mahasiswa dan pemimpin radikal tentera yang pro Kemalist pada ketika itu.
Pada 27hb Mei 1960, satu revolusi tentera yang diterajui oleh 37 pemimpin muda tentera telah menggulingkan kerajaannya dan Adnan Menderes adalah di antara tokoh yang telah ditangkap dan dikenakan hukuman gantung di atas dakwaan menentang perundangan sekular Turki yang pro-Kemalist (Mustafa Kamal Atatürk).
Jasanya Diiktiraf
Namun kehebatan dan kemuliaan usaha Adnan Menderes telah diiktiraf semula 29 tahun selepas beliau digantung. Pada 17 September 1990, kerajaan baru Turki yang telah dilantik secara demokrasi telah mengubah pendirian Parlimen terhadap Adnan Menderes. Parlimen dengan secara rasminya telah mengiktiraf sumbangan Adnan Menderes secara rasminya.
Bahkan jasa-jasanya turut dikenang melalui penamaan semula pelbagai institusi seperti Adnan Menderes University di Aydin, Adnan Menderes Airport, Adnan Menderes District, Adnan Menderes Road dan sebagainya.
Menurut Presiden Recep Erdogan, Adnan Menderes adalah negarawan Turki yang memainkan peranan penting dalam pembangunan, penambahbaikan, dan pendemokrasian Turki. Dalam salah satu ucapannya, “Kita masih cuba untuk mencapai impian Menderes. Mereka mungkin telah membunuhnya tetapi dia tidak dilupakan. Dia ada dalam hati kita.”
Hidup Biar Berjasa, Mati Biar Mulia
