TAZKIRAH JIWA SIRI 1318
CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA
PERMULAAN DINASTI MUWAHIDUN (Siri 244)
Setelah tumbangnya pemerintahan Dinasti Murabitun pada tahun 541 Hijrah atau 1147 Masihi, Andalusia seterusnya diperintah oleh Dinasti Muwahidun. Pemimpin Andalusia telah meminta bantuan daripada golongan Muwahidun sebelum tahun 539 Hijrah lagi. Sebagaimana mereka meminta bantuan golongan Murabitun agar masuk ke Andalusia ketika mereka semakin lemah maka begitu jugalah pemimpin Andalusia menggunakan strategi yang sama meminta pertolongan golongan Muwahidun untuk memasuki Andalusia.
Golongan Muwahidun adalah berasal dari Afrika Utara yang tergolong dalam bangsa Amazig atau Barbar. Maksud Muwahidun ialah orang-orang yang mengesakan Allah. Mereka menggunakan nama ini sebagai tanda protes terhadap pegangan golongan Murabitun yang kuat berpegang dengan Mazhab Maliki dengan cara keras, kaku dan konservatif. Golongan Muwahidun ini berpegang kuat dengan pandangan Tauhid yang berpendapat Tuhan itu tidak berbentuk yang berbeza dengan pegangan golongan Murabitun berkembang semasa Dinasti Murabitun memerintah.
Pemimpin golongan Muwahidun yang terkenal adalah Muhammad bin Tumart atau juga dikenali dengan Ibnu Tumart. Beliau adalah pemimpin yang memimpin pemberontakan terhadap pemerintahan Dinasti Murabitun bermula di Afrika Utara. Kepintaran beliau dalam mengatur strategi demi melakukan reformasi adalah bertujuan bagi menyelamatkan umat pada ketika itu. Namun reformasi yang dilancarkan oleh beliau berbeza dengan perjuangan yang pernah dilakukan oleh Abdullah bin Yasin pemimpin awal golongan Murabitun di Afrika Utara.
Ketika pemimpin Murabitun semakin lemah di Andalusia dan para pemimpin yang terdiri dari Raja-raja Kecil Andalusia berpaling dari memberikan ketaatan kepada pemerintah Murabitun maka peluang ini segera diambil segera oleh golongan Muwahidun. Malah mereka mendapat jemputan dan janji pertolongan oleh Raja-raja Kecil ini untuk memasuki Andalusia bagi menumpaskan pemerintahan Murabitun.
Padatahun 539 Hijrah golongan Muwahidun merancang dengan lebih serius untuk mara ke Andalusia dan seterusnya merampas kekuasaan dari pemerintah Murabitun. Akhirnya usaha yang dirancang berjaya dicapai sedikit demi sedikit sehingga pemerintahan Dinasti Murabitun tumbang secara rasminya pada tahun 541 Hijrah.
Insya Allah penulis akan kongsikan pemimpin utama golongan Muwahidun iaitu Muhammad bin Tumart atau Ibnu Tumart pada siri yang berikutnya.
Bersambung esok. Insya Allah
Ustaz Sabir
29hb. Jun 2020
7 Zulkaedah 1441 H
Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, A History Of The Moslem In Spain, Jejak Sejarah Andalusia, Syurga di Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Tarikh Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah
Cnp………
