Islamic

🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..

PENDENGKI ITU MUSUH NIKMAT ALLAH Imam al Ghazali menyebut dalam kitab Ihya' 'Ulum al-Din bahawa sifat dengki seperti berikut; _"Ketahuilah bahawa hasad itu timbul daripada al-hiqd, dan al-hiqd itu timbul daripada sifat marah yang bersarang di dalam hati._" Pendengki adalah penderita penyakit batin. Seseorang itu tidak boleh melihat orang lain memperoleh sesuatu lebih daripadanya. Lantaran itu wujudlah perasaan tidak senang hatinya terhadap seseorang yang berkenaan. Seterusnya besar kemungkinan akan berlaku persaingan yang tidak sihat untuk mencari jalan bagi mengatasi seseorang yang dicemburuinya. Dalam hal ini, Imam al Ghazali menukilkan dalam kitabnya Ihya' 'Ulum al-Din, juzuk 3, hal. 88, bahawa Nabi Zakaria a.s bersabda; _"Allah Ta'ala berfirman: Orang orang yang pendengki itu adalah musuh terhadap nikmatKu dan membenci keputusanKu serta tidak reda dengan pemberianKu yang Aku bahagikan di antara hamba-hambaKu."_ (HR: Ahmad, Bukhari dan Muslim) Mendengki nikmat Allah s.w.t kepada orang lain adalah sifat tercela. Seolah olah tidak reda dengan ketentuan Ilahi.Sepatutnya kita bersyukur dengan kenikmatan yang diperolehi oleh orang di sekeliling kita dan hendaklah sentiasa berdoa agar ditunaikan segala hasrat seperti yang diperolehi orang lain. Selain itu kita sepatutnya mengucapkan tahniah kepada setiap orang yang mendapat sesuatu anugerah daripada Allah s.w.t terutamanya kaum kerabat dan jiran tetangga bagi meraikan dan tanda kesyukuran. Akhirnya kata, ingatlah bahawa hasad itu adalah hasil daripada hasutan iblis yang ingin kita bersama samanya di neraka kelak. Harus sentiasa disematkan di dalam hati akan pesanan Rasulullah s.a.w bahawa kita hanya boleh mendengki seseorang kerana dua perkara sahaja itu seseorang yang diberikan ilmu, lalu diajarkan dan memperoleh kesenangan lalu dimanfaatkan ke jalan Allah s.w.t, lantaran itu hendaklah kita juga berlumba lumba melakukan sedemikian itu. Seterusnya jangan sesekali berasa dengki akan mereka yang mendapat sesuatu kurniaan daripada Allah s.w.t kerana wujudnya perasaan itu bererti kita memusuhi nikmat Allah s.w.t terhadap hamba hambaNya.

🌷 والله أعلم🌷

Leave a comment