Islamic – Struktur “Ring Composition” dalam Quran

t.me/drahmadsanusiazmi/561

Struktur “Ring Composition” dalam Quran

===========

1. Mereka yang merenungi struktur penyusunan ayat al-Quran pasti akan dapat merasai kewujudan konsep “ring composition” (struktur cincin) dalam penyampaian mesej al-Quran. Ring Compostion yang dimaksudkan adalah terdapat hubungkait di antara permulaan Surah atau ayat, dengan penutup Surah atau ayat tersebut.

2. Sebagai contoh, bagi yang membaca Surah Yusuf, pasti akan dapat merasai bagaimana permulaan Surah tersebut dimulakan dengan penjelasan bahawa Allah akan menceritakan kisah terbaik dalam al-Quran. Kemudian, dipenutup surah tersebut, Allah memberikan penegasan sekali lagi bahawa inilah kisah yang perlu di ambil pengajaran. Firman Allah:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Ia bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab terdahulu daripadanya”

3. Begitu juga bagi mereka yang membaca Surah al-Buruj akan mendapati bagaimana Allah bersumpah dengan Langit Yang Mempunyai Bintang. Peranan bintang digambarkan sebagai pendinding buat langit seperti yang termaktub dalam Surah al-Mulk Ayat: 5.

Dan kemudian dipenghujung Surah al-Buruj, ia ditutup dengan penjelasan mengenai (Luh Mahfuz) iaitu kawasan langit yang dipelihara oleh Allah. Permulaan dan penutup Surah ini dikaitkan dengan pemeliharaan Allah terhadap langit dan segala kandungan yang berada di langit.

4. Begitu juga bagi yang merenungi Surah al-Hijr akan mendapati bagaimana Allah memulakan Surah ini dengan kelompok pemeliharaan Allah terhadap al-Quran dan Rasul. Allah berjanji akan memelihara al-Quran pada penjelasan kelompok permulaan ayat. Di penghujung Surah ini pula Allah berjanji akan memelihara Rasulullah, iaitu agen yang menyampaikan wahyu. Firman Allah:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ * إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.” (Surah al-Hijr: 94-95)

5. Begitulah keindahan al-Quran yang seharusnya menjadi pengajaran buat kita. Apabila Allah memulakan satu penyampaian dengan mesej khusus, Allah akan tutup surah tersebut dengan penegasan semula agar manusia memahami mesej tersebut dengan maksud yang jelas. Ini adalah hikmah yang penting buat kita yang ingin menyampaikan mesej dakwah buat manusia.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Struktur “Ring Composition” dalam Quran

Leave a comment