Islamic – ☆Tadabbur Kalamullah 3 Zulkaedah 1441H☆

t.me/tadabburkalamullah/1865

☆Tadabbur Kalamullah 3 Zulkaedah 1441H☆

لَهُم مِّن فَوۡقِهِمۡ ظُلَلࣱ مِّنَ ٱلنَّارِ وَمِن تَحۡتِهِمۡ ظُلَلࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ یُخَوِّفُ ٱللَّهُ بِهِۦ عِبَادَهُۥۚ یَـٰعِبَادِ فَٱتَّقُونِ

“Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!” [Surah az-Zumar 16]

#Allah swt menggambarkan azab yang akan dirasai dan dikenakan kepada penghuni neraka iaitu mereka dihumban ke dalam api yang meliputi mereka dari atas dan juga dari bawah. Mereka dilitupi lapisan-lapisan api dari atas kepala mereka dan juga daripada bawah kaki mereka. Api datang berlapis-lapis dari semua arah.

#Suasana azab yang menyelubungi penghuni neraka ini dirakamkan juga oleh Allah swt dalam surah yang lain antaranya dalam surah al-Ankabut dan surah al-A’raf. Firman Allah swt:

یَوۡمَ یَغۡشَىٰهُمُ ٱلۡعَذَابُ مِن فَوۡقِهِمۡ وَمِن تَحۡتِ أَرۡجُلِهِمۡ وَیَقُولُ ذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

“Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka; dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: “Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan” [Surah al-Ankabut 55]

لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهَادࣱ وَمِن فَوۡقِهِمۡ غَوَاشࣲۚ وَكَذَ ٰ⁠لِكَ نَجۡزِی ٱلظَّـٰلِمِینَ

“Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya)” [Surah al-A’raf 41]

#Di dalam Tafsir al-Wajiz, Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, berkata: “Bagi mereka, gumpalan-gumpalan di atas mereka (lapisan-lapisan) dari api dan di bawah mereka pun gumpalan-gumpalan (lapisan-lapisan) dari api. Demikianlah Allah mempertakutkan hamba-hambaNya dengan azab itu yakni hamba-hambaNya yang beriman, supaya mereka bertakwa kepadaNya”.

#Allah swt menakut-nakutkan hamba-hambaNya dengan azab api Neraka, supaya mereka bertakwa pada Allah dengan benar-benar takut padaNya dan menjaga tauhidNya dengan tidak mensyirikkanNya. Allah menyeru agar kita bertaqwa kepadaNya. Ini kerana hanya orang yang bertaqwa sahaja yang selamat daripada azab neraka dan beroleh kemenangan di akhirat kelak.

وَأَنجَیۡنَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ یَتَّقُونَ

“Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertaqwa” [Surah an-Naml 53]

#Orang bertaqwa juga dijanjikan tempat istimewa di Syurga kelak. Firman Allah swt:

وَإِنَّ لِلۡمُتَّقِینَ لَحُسۡنَ مَـَٔابࣲ

“Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak)” [Surah Sad 49]

♡Takutlah akan azab Allah yang tersangat dahsyat yang bakal merentungkan penghuninya dan mengurung manusia di dalamnya. Banyakkan berdoa agar kita tergolong dalam kalangan penghuni Syurga. Aamiiin♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Leave a comment