Islamic

*TAZKIRAH JIWA SIRI 1315*

*CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA*

*PUNCA KEJATUHAN DINASTI MURABITUN (samb) (Siri 241)*

2) Kemewahan harta rampasan perang yang diperolehi dalam misi jihad menyebabkan golongan Murabitun telah leka dengan kemewahan. Semasa awal kedatangan golongan Murabitun yang di pimpin oleh Abdullah bin Yasin golongan Murabitun sangat berpaut kuat pada agama, kezuhudan dan mempunyai matlamat untuk menyelamatkan kaum Muslimin dari keganasan dan kezalliman tentera Kristian. Malah semasa Yusuf bin Tayifin memenangi misi jihad golongan Murabitun meninggalkan harta rampasan perang kepada penduduk Andalusia. Mereka pulang ke Maghribi tanpa membawa harta rampasan perang.

Selepas tahun 500 Hijrah setelah Yusuf bin Tasyifin wafat pada usia 100 tahun, beliau meninggalkan generasi yang bukan seperti generasinya lagi. Golongan Murabitun sudah terpaut dengan harta rampasan perang dan terlibat dalam misi jihad dengan harapan untuk mendapatkan harta. Pada masa pemerintahan Ali bin Yusuf keadaan ini sudah mula merebak dan sukar lagi dibendung.

Lumrahnya manusia yang miskin atau tidak memiliki harta tidak sama sama dengan sikap golongan yang kaya atau berharta. Golongan tidak berharta mungkin agak terbatas dalam melakukan maksiat namun golongan berharta lebih mudah terjebak dengan maksiat jika tiada kekuatan iman. Tidak dinafikan ada golongan kaya dan berharta yang bersyukur serta hebat pula imannya. Golongan Murabitun kemudianya telah terpengaruh pada jalan maksiat sama ada dosa kecil atau dosa besar setelah memiliki kekayaan dan harta.

Pada zaman itu lahir golongan tokoh-tokoh ilmuan yang besar dalam pelbagai lapangan ilmu. Dr. Raghib As-Sirjani mencatatkan para tokoh ilmuan Islam pada masa tersebut banyak menulis buku atau kitab. Namun penulisan mereka disibukkan dengan perkara-perkara teori yang tidak memberi banyak manfaat. Beliau menukilkan kata-kata Abdul Wahid Al-Marrakasyi,

“Yang ada dekat Amir kaum Muslimin dan yang mendekatinya hanyalah orang-orang yang mengenal masalah furu atau cabang sahaja. Iaitu masalah furu dalam Mazhab Maliki sehingga mesti dibahas oleh kitab-kitab Mazhab Maliki dalam tempoh masa yang lama. Sementara itu masalah-masalah yang lain dibiarkan begitu sahaja. Keadaan semakin marak sehingga perhatian terhadap Kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w diabaikan.

Bahkan Abdul Wahid Al-Marrakasyi mencatatkan para tokoh ilmuan tidak memberikan perhatian terhadap kedua-dua panduan umat Islam. Pada waktu itu telah muncul sikap suka menuduh kafir terhadap orang-orang yang mempelajari ilmu kalam. Para tokoh ilmuan yang berada di samping Amir kaum Muslimin juga turut menyokong hujah itu dan tidak menyukai golongan tokoh ilmuan salaf atau ulama salaf, meninggalkan sama sekali dan menuduh bid’ah atau mengada-adakan sesuatu yang baru dalam agama.

Akibatnya terjadi pertikaian dengan pandangan-pandangan hingga menjejaskan akidah. Kemudian hasilnya wujud pandangan anti terhadap ilmu kalam dan para tokoh ilmuan Islam. Setiap masa mereka menulis tentang perkara ini sehingga disebarkan ke wilayah-wilayah kempen anti ilmu kalam. Lalu diberi ancaman kepada sesiapa yang menyimpan kitab tentang ilmu kalam.

Kitab-kitab Imam Al-Ghazali yang masuk ke Maghribi diarahkan oleh Amir kaum Muslimin agar dibakar. Bahkan diberi ancaman bunuh atau denda yang besar jumlahnya bagi sesiapa yang menyimpan salah satu kitabnya. Ini jelas satu tindakan yang sangat ekstrim dan tidak bijaksana.”

Ini menunjukan ketika pelaku maksiat terjebak dalam kancah dosa, para tokoh ilmuan Islam tidak cakna malah sibuk berbahas perkara-perkara kecil dengan hujah-hujah yang keras. Mereka telah mengabaikan tugas dakwah membimbing pelaku maksiat dengan mengajak kembali kepada ajaran Al-Quran dan Al-Hadis. Perkara furu diperbesarkan manakala perkara maksiat besar didiamkan oleh tokoh ilmuan Islam.

Bersambung esok. Insya Allah

Ustaz Sabir
26hb. Jun 2020
4 Zulkaedah 1441 H

Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, A History Of The Moslem In Spain, Jejak Sejarah Andalusia, Syurga di Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Tarikh Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah

Leave a comment