🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..*RUMAH KITA PEJABAT KEBAJIKAN*
Di celah-celah kehidupan masyarakat, tidak semua orang senang didampingi oleh orang lain. Sifat baik hati, peramah, mudah mesra, tidak berkira, sopan santun dan berhemah serta baik budi bahasa adalah antara kunci utama sueorang itu mudah didekati. Pastilah seseorang itu mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki oleh orang lain!
Apa tidaknya, pukul dua pagi pintu rumah diketuk kerana jiran minta tolong hantarkan isterinya nak bersalin ke hospital. Apabila ada kenduri kahwin, ada saja jiran mengajak untuk mengikuti rombongan menghantar pengantin dengan membawa warisnya. Kadangkala ada juga jiran mengajak untuk menghantarnya ke rumah bomoh, klinik, menziarahi saudaranya yang sakit dan sebagainya.
Bukan berakhir di situ sahaja. Ada masanya jiran kesempitan, akan ada satu daripada banyak rumah itu yang menjadi sasarannya. Selain itu apabila jiran balik kampung, akan ada jiran yang boleh diharapkan untuk ditinggalkan kunci rumah supaya tenguk-tengukkan rumahnya. Seterusnya banyaklah lagi karenah jiran yang perlu dilayan dan seharusnya difahami sebagai adab hidup berjiran.
_*Sewajarnya kita perlu bersyukur jika rumah kita bercirikan sedemikian. Sesungguhnya kita sentiasa kesibukan dengan tugasan seharian sehinggakan tidak dapat menjenguk jiran sebelah!. Alhamdulillah..jiran datang mengadu kepada kita, itulah rezeki pahala datang bergolek daripada Allah s.w.t. Begitulah juga dalam keadaan yang lain, anggaplah semua itu adalah perancangan Allah s.w.t yang ingin menguji keimanan dan keikhlasan kita dalam hidup berjiran.*_
Namun sebaliknya kemampuan setiap manusia adakalanya terbatas dan mungkin pada hari itu bukan rezeki kita untuk membantu jiran yang memerlukan. Jadi, cubalah terangkan dengan baik supaya jiran tadi tidak berkecil hati. Jangan sekali-kali menyergah jiran dengan kata-kata , _”Ingat ini pejabat kebajikan ke….!”_ dan seumpamanya yang menyebabkan jiran berjauh hati dan tertutuplah satu pintu rezeki pahala kurniaan Allah s.w.t kepada kita.
Bukan sahaja karenah kejiranan yang perlu dilayan! Kadangkala apabila buka pintu rumah, entah dari mana terkodek-kodek pula kucing mengiyau kelaparan. Layanilah kucing itu, anggaplah ia adalah kiriman daripada Allah s.w.t untuk berkongsi rezeki dengan kita kerana daripada banyak rumah di kejiranan, rumah kita yang menjadi pilihannya.
Intihanya kadangkalanya hadirnya kita dalam sesebuah kejiranan begitu bermakna dan bermanfaat. Jangan sesekali kedekut dan bakhil untuk berkongsi nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita. Berbagilah nikmat itu agar ditambah lagi nikmat yang lain. Kita juga harus sedar bahawa langit tidak selalunya cerah! Walau bagaimanapun kita perlu sentiasa berhati-hati agar tidak diambil kesempatan oleh mereka yang cemburu melihat kelebihan yang ada pada kita. Tetapi sebaik-baiknya bersyukurlah atas segala kurniaan Allah s.w.t kepada kita kerana pintu rezeki berbuat pahala dibukakan luas untuk kita. Itulah sebenarnya barokah dalam kehidupan. Berdoalah agar dimurahkan rezeki untuk membantu orang lain hatta rumah kita seolah-olah pejabat kebajikan.
🌷 والله أعلم🌷
