☆Tadabbur Kalamullah 1 Zulkaedah 1441H☆
وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ
“Dan Tuhan kamu Dia menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia melakukan pemilihan (yang terbaik dari kalangan makhluk-Nya)” [Surah al-Qasas 68]
#Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa seluruh makhluk di alam ini diciptakan oleh Allah swt. Namun, kedudukan dan kemuliaan sesama makhluk adalah tidak sama antara satu sama lain disebabkan pilihan yang dilakukan oleh Allah swt. Contohnya, Allah swt menciptakan masa dan dalam masa yang sama Allah memilih masa-masa tertentu yang lebih baik serta mempunyai kebaikan yang banyak di dalamnya.
#Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis nama berkaitan kelebihan beramal di bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Ganjaran pahala bagi amalan soleh yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram ini adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
#Imam Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan pendapat Ibn Abbas r.huma yang mengatakan:
اختص الله أربعة أشهر جعلهن حرما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيهن أعظم وجعل العمل الصالح والأجر أعظم
“Allah swt telah mengkhususkan empat bulan dan menjadikannya sebagai bulan-bulan haram dan membesarkan kehormatan bulan tersebut. DIA juga menjadikan dosa-dosa padanya itu lebih berat serta menjadikan amalan soleh dan ganjaran pahala (di dalamnya) juga lebih besar (berbanding bulan-bulan lain)” (Rujuk Latha’if al-Ma’arif)
#Bagitu juga beramal di malam Lailatul Qadar yang ganjarannya tidak sama dengan malam-malam yang lain sebagaimana yang di rakam dalam Surah al-Qadr.
#Solat di dalam Masjid an-Nabawi, ganjaran pahalanya lebih besar berbanding solat di masjid-masjid selainnya kecuali di Masjidil Haram. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
“Solat di dalam masjid aku ini (Masjid an-Nabawi) adalah lebih afdhal sebanyak seribu kali ganda solat di dalam masjid selainnya, melainkan di Masjidil Haram (100 ribu kali ganda)” (HR Muslim)
#Beramal ibadah pada 10 hari awal Zulhijjah tersangat besar ganjaran berbanding di masa lain. Sabda Nabi saw:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
“Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah?” Baginda saw berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun” (HR Abu Dawud)
#Ganjaran jihad fi sabilillah di medan perang melebihi ganjaran berjihad di medan selainnya. Sabda Nabi saw:
مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْقَانِتِ بِآيَاتِ اللهِ لاَ يَفْتُرُ مِنْ صِيَامٍ، وَلاَ صَلاَةٍ حَتَّى يَرْجِعَ الْمُجَاهِدُ إِلَى أَهْلِهِ
“Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, solat, membaca ayat-ayat Allah, tanpa (henti) tanpa rasa penat menunaikan solat dan puasa itu, sehinggalah orang yang berjihad di jalan Allah itu pulang” (HR Muslim)
♡Marilah kita mempertingkatkan amalan soleh dan amal kebajikan selama sepanjang kita berada bulan-bulan haram ini (Zulkaedah). Mudah-mudahan ia menjadi asbab istiqamahnya kita dalam taqwa dan amal kepada Allah swt dalam bulan-bulan yang lain♡
🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah
Facebook:
