🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..
KEBERSAMAAN ASAS KEJAYAAN Kebersamaan itu asas kejayaan. Semua orang telah sedia maklum tetapi kadangkala ada yang lupa kerana terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti seharian menyebabkan berlakunya kepincangan dalam kehidupan. Oleh itu marilah kita semak antara contoh _"kebersamaan membawa kejayaan.."_
1️⃣ Hasil daripada penyatuan dua jiwa melalui ikatan perkahwinan melahirkan zuriat. Dalam kehidupan yang sentiasa berada dalam keadaan kebersamaan mengharungi liku-liku suka-duka pahit manis kehidupan, kenikmatan hidup akhirnya dapat dikecapi dengan wujudnya sebuah keluarga bahagia. Itulah kejayaan sesebuah keluarga.
2️⃣ Kebersamaan dalam mendidik anak-anak antara parent dan pihak sekolah seumpama memasak kueh “Akok”. Darjah kepanasan api pembakarannya hendaklah seimbang, barulah akok tadi masak sepenuhnya. Jika tidak, sebaliknya berlaku sama ada hangus separuh atau mentah sebahagian laginya.
3️⃣Kebersamaan juga perlu sebagai pemangkin semangat anak-anak untuk berjaya. Contohnya, seorang bapa yang anaknya berjaya sebagai doktor, jurutera, peguam, guru dan profesional lainnya pernah berkata, “Kita dengan anak sama penat, anak start belajar(mengulangkaji pelajaran) kita pula start baca Quran, zikir, solat hajat…bedoa kepada Allah s.w.t. Anak-anak tidur, kitapun barulah tidur.” Itulah kebersamaan usaha dalam memohon kejayaan dengan restu Ilahi. Kejayaan hasil kebersamaan dikecapi bersama.
4️⃣ Dalam kalangan komuniti setempat, hasil kebersamaan ketua kampung, ketua masyarakat, Imam, JKKK serta penduduk kampung pastilah segala permasalahan penduduk dapat diatasi dengan mudah. Orang tua tua juga ada menyebut, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”
5️⃣ Dalam sesebuah keluarga mahupun apa jua organisasi, kebersamaan amat perlu untuk membuat sebarang keputusan supaya memuaskan hati semua pihak. Konsep musyawarah, tolak -ansur, alah-menang, persefahaman akan mewujudkan keharmonian. Budaya membina organisasi wajar digalakkan dan amalan menikam dari belakang, harus dielakkan. Dengan ini wujud keharmonian dalam sesebuah institusi mahupun organisasi.
6️⃣ Kebersamaan dalam sesebuah syarikat di negara Matahari Terbit amat mengagumkan. Setiap pekerja digalakkan memiliki saham dalam sesebuah industri. Secara tidak langsung mereka akan bekerja dengan gigih kerana hasil perolehan atau keuntungan akan dikongsi bersama. Pastilah tidak ada yang bekerja secara sambalewa, curi tulang dan sebagainya kerana akhirnya mereka juga yang menanggung risikonya.
7️⃣ Kebersamaan dalam perang Badar telah membawa kejayaan besar bagi pasukan tentera kaum muslimin yang terdiri daripada 313 orang sahaja berbanding kira-kira 1000 orang tentera kaum kafir Quraisy. Walau bagaimanapun ketidakbersamaan tentera kaum muslimin membawa kekalahan dalam perang Uhud. Demikianlah antara contoh kebersamaan dalam kehidupan kita yang menyerlahkan kewajaran untuk diamalkan. Peribahasa juga ada menyebut, _Bersatu teguh bercerai roboh."_ Sehubungan itu juga Allah s.w.t mengingatkan hal yang sama melalui firmanNya; _"Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan jangan kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah itu sangat berat siksaannya."_( QS; Al- Maidah : 2).
Seterusnya Allah s.w.t menegaskan lagi; _"Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai....._"(QS; Ali 'Imran: 103) Akhir kata, sekiranya kita berpegang kepada prinsip kebersamaan dalam seluruh kebaikan, maka manfaatnya akan dapat dinikmati bersama. Manakala kebersamaan dalam melakukan kemungkaran, kecelakaanlah yang bakal diterima ganjarannya. Berfikirlah masak-masak sebelum melakukan sesuatu, dibalik-balik ibarat memanggang kerana sesal kemudian tiada penghujungnya.
🌷 والله أعلم🌷
