1. Qudwah adalah kunci kepada kepimpinan. Ingin jadi pemimpin kepada sekumpulan manusia, tunjuklah qudwah kepada mereka. Pepatah Arab mengatakan:
اذا اردت ان تكون امامي فكن امامي
“Jika kamu ingin menjadi imamku, berdirilah di hadapanku.”
2. Tanpa qudwah pimpinan dalam pengorbanan, qudwah dalam kesungguhan amal, qudwah dalam keyakinan terhadap fikrah dan qudwah terhadap kesetiaan penggabungan, mustahil manusia yang dipimpin akan menjadi pengikut yang membantu dakwah.
3. Pemimpin adalah siling dalam kebanyakan perkara. Pengikut akan berada selapis bawah siling tersebut. Maka, jika pimpinan dakwah ingin organisasinya maju, tinggikanlan siling itu lalu pengikut akan mengejarnya. Jarang pengikut melepasi siling pimpinan. Jika berlaku, dialah yang akan jadi pemimpin di masa akan datang.
4. Pemimpin boleh menyolek dirinya, mempamerkan suatu ‘qudwah palsu’ melalui kata-kata dan tulisan …. tetapi mata pengikut akan sentiasa menilai amal dan perbuatan.
5. Pemimpin muda kadang-kadang berkata; pemimpin tua beruntung kerana di bawah mereka sekumpulan pemimpin muda yang bagus … sedangkan pemimpin muda di masa akan datang akan memimpin ahli yang sekarang ini mempunyai banyak kerenah.
Rahsianya …
Pemimpin tua dapat pemimpin muda yang bagus kerana pemimpin tua ketika mudanya menunjukkan qudwah dalam segala perkara kepada bakal pimpinan muda.
Maka sekarang, di tangan pemimpin mudalah, bagaimana bentuk ahli sekarang akan terbentuk di masa akan datang. Apa yang ditunjukkan oleh pimpinan muda, itulah yang akan ditiru oleh ahli-ahli yang akan membantunya dalam amal dakwah.
Manusia menuai hasil tanamannya.
Quwwah, Qudwah, Qiyadah
