🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..*USAH SOMBONG DENGAN PANGKAT DAN KUASA*
Sesetengah orang amat bermegah dengan pangkat dan kuasa. Inginkan sanjung dan penghormatan sehinggakan seorang anak ingin dihormati oleh orang tuanya seperti orang lain menghormatinya! Pangkat, harta dan kekayaan bukanlah untuk diri kita dihormati dan disanjungi, tetapi disyukuri. Apabila faktor tersebut menyebabkan seseorang itu ingin dihormati dan disanjungi, itulah antara contoh sifat sombong!
Sifat merendah diri amat menonjol pada diri Rasulullah s.a.w malahan objektif dakwah Baginda antara lain ialah menghapuskan sifat bongkak yang tersebar luas di muka bumi dalam kalangan pemuka negara. Oleh itu Baginda pernah bersabda;
_”Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam dirinya seberat zarah dari sifat sombong.”_(HR: Muslim).
Walaupun taraf Baginda sebagai Nabi dan Rasul, pernah dalam satu majlis Baginda duduk bersama-sama dengan orang ramai kerana tidak ada tempat duduk yang kosong sehingga setiap orang bergeser memberikan laluan kepada Baginda. Pada suatu masa, Nabi s.a.w keluar untuk bertemu dengan para sahabatnya, lalu mereka berdiri namun Baginda bersabda;
_”Janganlah kalian berlebih-lebihan memuji aku sebagimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan memuji putera Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba. Maka katakanlah : Hamba Allah dan Rasulnya.”_ (HR: Bukhari).
Baginda juga menjahit sendiri pakaian dan kasutnya yang rosak, membantu keluarganya memotong daging, tidak menatap wajah seseorang lama-lama. Barangsiapa melawan atau mengingkarinya, Baginda akan mengalah, memenuhi setiap permintaan dan menolaknya dengan perkataan yang paling halus jika tidak dapat ditunaikan.
Begitulah juga Sayyidina Umar al Khattab, sifat merendah dirinya melayan utusan daripada Kisra Parsi menyebabkan rombongan itu teruja dan memeluk Islam. Begitulah juga Khalifah Umar Abdul Aziz, yang terkenal dengan sifat warak dan rendah dirinya. Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan sememangnya terkenal dengan sifat rendah diri dengan menatang dan menghidangkan sendiri minum kepada tetamunya. Walaupun almarhum seorang menteri besar, tiada seorangpun orang gaji di rumahnya. Beliau boleh disapa oleh rakyat jelata di mana-mana sahaja tanpa protokol dan penghormatan!
Demikianlah, pangkat dan kuasa bukannya untuk dihormati dan disanjungi, tetapi disyukuri kerana sesorang yang berpangkat dan berkuasa iaitu pemimpin akan ditanya kesempurnaan tanggungjawabnya di akhirat kelak. Oleh itu, contohilah keperibadian Rasulullah s.a.w dan orang-orang terdahulu yang berhemah dan merendah diri walaupun berpangkat dan berkuasa kerana semuanya akan berakhir, hanyalah jasad yang akan dibawa pergi. Di hadapan Allah s.w.t kelak, segala pangkat dan gelaran serta sanjungan semasa di dunia tiada lagi, tetapi berjawablah persoalan satu persatu mengenai tanggungjawab yang diamanahkan.
🌷 والله أعلم🌷
