۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
10 HARI YANG PALING MULIA DI SISI ALLAH
“Alhamdullilah, kita akan masuk suatu waktu yang sangat mulia di sisi Allah سبحانه وتعالى iaitu 10 hari yang pertama dari bulan Zulhijjah yang dinamakan Ayyamul ‘Asayr.
Maka 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah ini sangat besar maknanya di sisi Allah سبحانه وتعالى sehinggakan disebutkan oleh para ulama, “Hari-hari tersebut adalah hari-hari paling mulia di dunia.”
Di dalam hadis shahih yang diriwayatkan oleh Saidina Ibnu Abbas رضي الله عنه. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda, “Bahawasanya tiada ada amalan yang Allah lebih cintai lebih daripada amalan yang terdapat daripada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.”
Maka sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, walaupun jihad fisabilillah tidak dapat menyamai amalan 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah?”
Lalu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam mengatakan, “Kecuali melainkan seseorang itu dapat keluar berjihad fisabilillah membawa harta dan dirinya secara langsung ia infakkan harta serta dirinya tidak pulang yakni mati syahid maka itu sahaja yang dapat menandingi amalan 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah ini.”
Semua amalan yang dilakukan dalam 10 hari ini sangat disukai oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan akan digandakan balasannya. Oleh itu, sangat dianjurkan kita ini supaya memperbanyakan amal kebaikan kita dalam 10 hari ini.
Berpuasa pada siang harinya, mengimarahkan pada waktu malam dengan qiamullail, tasbih, takbir, tahlil, berzikir kepada Allah, membuat kebaikan, menyambung silaturahim dengan jiran tetangga, saudara mara dan sebagainya.
Berkata para salafusoleh, “1 hari daripada hari Zulhijjah. Siangnya seumpama setahun pahalanya. 1 malam boleh jadi seumpama malam Lailatur Qadr. Puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda.”
Manakala, para tabi’in mengatakan, “1 hari daripada bulan Zulhijjah seperti 1,000 hari pahalanya di dunia ini. Melainkan hari Arafah sahaja, ianya seumpama 10,000 hari pahalanya.”
Jadi jangan kita lepaskan peluang untuk berniaga dengan Allah Subhanahu Wa Taala Ini adalah musimnya untuk kita mendapatkan kedudukan yang mulia di sisi Allah.”
[Habib Mahdi Bin Abu Bakar Al-Hamid]
