Islamic – Ceria Pagi

🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi.. *BATU JADI PERMATA* Pada pagi ini kita hayati satu kisah yang menyentuh hati akan kebesaran Allah s.w.t dalam mengatur rezeki dan untung nasib seseorang berkat kesabarannya... Tidak ada hari yang paling menyedihkan dalam kehidupan Kak Long iaitu hari yang bersejarah dalam seumur hidupnya, hari majlis konvokesyen!. Saat siswa dan siswi bergembira, dia bersedih kerana kedua dua ibu dan ayahnya maut dalam kemalangan jalan raya untuk ke majlis tersebut. Tidak dapat dibayangkan pilunya hati seorang anak gadis apabila menatap dua jenazah terbaring kaku di ruang tamu rumahnya diiringi sedu sedan adik adiknya yang masih kecil terutamanya yang bongsu, baru berusia dua tahun. Hari-hari berlalu..kini Kak Long mengambil alih tugas memelihara adik-adiknya dengan menoreh getah milik arwah bapanya. Kak Long kini menggalas tugas menguruskan segala-galanya!. Siang hari mencari rezeki, pada malamnya mengajar mengaji al-Quran dan membantu adik-adiknya mengulangkaji pelajaran. Kak Long ingin melihat adik-adik juga berjaya sepertinya. Walaupun ada keluarga daripadanya sebelah arwah ibu dan bapanya meminta izin untuk memelihara anak-anak yatim-piatu itu namun Kak Long bertegas ingin menjaga adik-adiknya sebdiri. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pihak Majlis Agama ada juga menawarkan khidmat masing-masing untuk menempatkan adik-adiknya di pusat jagaan anak-anak yatim juga ditolak Kak Long. Kak Long nekad untuk membesarkan sendiri adik-adiknya. Meskipun rakan-rakannya mendapat pekerjaan yang selesa dengan kelulusannya di ibu kota, Kak Long tetap berazam tinggal di kampung untuk memelihara adik-adiknya. Sungguh mulia hati Kak Long! Kesusahan hidup Kak Long mendapat simpati bekas teman sekolahnya, Borhan yang menyuntingnya untuk dijadikan isterinya dengan hasrat untuk meringankan bebanan Kak Long membesarkan adik adiknya. Borhan pula bukanlah sebarangan pemuda, dia adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak melanjutkan pelajaran ke menara gading kerana ingin menjadi seorang usahawan dengan mengusahakan kolam ikan, ternakan kambing dan lembu di samping dusun buah-buahan serta kebun getah memandangkan kedua-dua ibu bapanya telah tua manakala abang-abang serta kakaknya tidak boleh diharapkan mewarisi kerja usaha ibu bapanya kerana semuanya telah menamatkan pengajian di universiti dan selesa dengan pekerjaan masing-masing. Borhan juga seorang anak yang berhati mulia kerana memilih untuk menjaga kedua-dua ibu bapanya berbanding melanjutkan pelajaran ke ibu kota. Diringkaskan cerita, hasil keberkatan rezeki Kak Long dan suaminya Borhan, adik-adiknya semua berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Di samping keikhlasan Kak Long dan suaminya Borhan, anak-anak mereka juga cemerlang dalam pelajaran, juga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negeri. Kini adik-adik Kak Long semuanya telah dewasa, tibalah saatnya untuk Kak Long membahagikan harta pusaka tinggalan arwah kedua-dua orang tuanya. Sebagai kakak sulong yang telah berpenat lelah mengasuh dan membesarkan adik-adiknya, Kak Long menyerahkan bulat-bulat kepada mereka untuk membuat keputusan supaya tidak ada antara mereka yang berjauh hati dalam memilih bahagian pusaka masing-masing. Manakala suaminya Borhan tiada kisah sangat pasal harta kerana dia telah mewarisi banyak tanah daripada arwah bapanya. Adik Kak Long yang pertama seorang doktor, memilih tanah getah yang menjadi sumber rezeki yang menyara mereka sekeluarga. Adik Kak Long yang kedua, seorang guru memilih tanah kebun yang menjadi sumber buah-buahan bagi keluarga mereka. Adik Kak Long yang ketiga memilih tanah kebun getah pusaka milik arwah ibunya. Manakala adik Kak Long yang bongsu memilih rumah pusaka dengan keluasan tanahnya kira-kira dua ekar. Kini yang tinggal hanyalah sebidang tanah gersang kira-kira enam ekar luasnya yang tidak dapat diusahakan kerana keadaannya yang berbatu dan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Hanya itulah rezeki Kak Long. Namun Kak Long bersyukur kerana adik-adiknya senang hati mendapat bahagian masing-masing kerana bagi adik-adik adalah segala-galanya! Kak Long hanya mampu tersenyum kepuasan kerana telah dapat menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai pengganti kepada kedua-duanya ibu bapanya. Itulah kepuasan Kak Long yang tidak terhingga. Meskipun kini adik-adiknya telah berumahtangga, rumah pusaka itulah menjadi tempat mereka berkumpul pada setiap hari raya. Kak Long tidak pernah merungut walaupun telah dewasa, adik-adiknya memintanya menyediakan pelbagai juadah pada hari raya kerana Kak Long adalah tempat bermanja bagi mereka. Kak Long tidak kisah walau ada antara adiknya yang tidak pernah menghulurkan walaupun satu sen sebagai menghargai jasa membesar mereka sehingga berjaya dalam kehidupan mereka. Kak Long juga tidak berasa terkilan walaupun tidak pernah merasai setitik air sebagai buah tangan setelah mendewasakan mereka. Hal ini demikian kerana bagi Kak Long, adik-adiknya adalah penawar kedukaan setelah pemergian ibu bapanya. Pada Kak Long sahajalah tempat mereka berkongsi suka-duka kehidupan mereka sekeluarga. Kak Long berpuas hati kerana telah berjaya menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya. Sambil merenung satu- persatu wajah adik-adiknya, Kak Long bersuara, _"Pada hari ini, selesailah tugas Kak Long menjaga amanah arwah mak dan abah. Apa yang Kak Long harapkan ialah tanah pusaka milik masing masing-masing jangan sesekali dijual kerana menurut firasat orang tua-tua, jika tanah pusaka dijual, kita mewarisi kepapaan! Kecuali tanah itu dijual dan dibeli dengan tanah yang lain sebagai gantinya ataupun dilaburkan dalam sektor yang menguntungkan dan membeli kembali tanah sebagai ganti kepada yang telah dijual."_ Bagaikan pesalah yang berada di kandang mahkamah, adik-adik Kak Long menangguk-anggukkan kepala akur akan pesanan Kak Long. Lapang dada Kak Long menatap satu persatu wajah adik-adiknya, tanpa disedari ada air menggenangi kolam matanya. Satu-persatu adik Kak Long menyalami dan mencium tangan serta menguncup dahinya. Kak Long amat puas! Abang Borhan hanya mendiamkan diri memerhatikan satu-persatu gelagat adik-adik iparnya....

(bersambung…

🌷 والله أعلم🌷

Leave a comment