🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..
KEMAAFAN ITU KETENANGAN Dendam kesumat menyebabkan hati tidak tenteram. Ia akan sentiasa menganggu kehidupan seharian seseorang. Setiap kali bersua atau teringat akan peristiwa atau orang berkenaan, perasaan marah pasti membuak-buak kerana dendam yang terpendam, ditambahi pula oleh hasutan syaitan. _Kemaafan yang tertangguh juga akan membelenggu fikiran._ Ia akan terus memburu fikiran hinggalah mengganggu ketenangan dalam beribadat. Sebaik-baiknya, memaafkan adalah jalan yang paling ampuh untuk mendapat ketenangan hidup. Memang mudah untuk berkata, _"Aku tak akan maaf sampai mati..."_ Kita juga terpengaruh dengan untaian kata, _"Hati yang terluka, walaupun sembuh parutnya tetap ada sampai bila-bila.."_ Maksud yang tersirat ialah _kemaafan yang tidak ikhlas._ Sejujurnya jika sesuatu perkara telah dimaafkan, lupakan saja, tutup buku dan binalah sesuatu baharu sama ada hubungan rumah tangga, keluarga, persaudaraan, persahabatan dan sebagainya. Hidup akan tenang. Alim ulamak berpendapat bahawa _memaafkan kesalahan atau kesilapan seseorang adalah sesuatu yang paling berat bagi orang-orang yang jahil_ kerana kemaafan adalah dituntut oleh syarak seperti firmanNya; _"Ambillah jalan untuk memaafkan orang lain, suruhlah manusia melakukan perkara yang makruf dan berpalinglah kamu daripada orang-orang yang bodoh."_ (QS: al-A'raf: 199). Selain itu Allah s.w.t juga mengingatkan; _"Bahawasanya memaafkan kesalahan manusia itu adalah lebih dekat kepada takwa."_(QS: al-Baqarah: 237). Rasulullah s.a.w juga bersabda; "Nabi Musa a.s berkata, _"Wahai Tuhanku..! Siapakah hambaMu yang lebih engkau muliakan...?"_ Allah s.w.t berfirman, _"Hambaku yang mampu membalas kejahatan orang yang menzaliminya ,tetapi dia memaafkan kesalahan orang tersebut."_ (HR: al-Kharaithi dalam Makarim al-Akhlak). Sesungguhnya amat hebat untuk seseorang yang memaafkan orang lain kerana mereka termasuk dalam golongan orang orang yang cerdik, beriman dan bertakwa serta dimuliakan Allah s.w.t. Juga seperti yang pernah diceritakan dahulu bahawa Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh ahli syurga, lantaran itu ada seorang sahabat yang ke rumahnya untuk menyelidiki beliau dan didapati beliau bukanlah ahli qiamullail atau tahjud atau ahli sedekah atau ahli al-quran atau selalu berpuasa, tetapi amalannya hanyalah setiap kali sebelum tidur pada malamnya beliau bermohon kepada Allah s.w.t untuk memberikan keampunan kepada setiap kesalahan orang terhadapnya. Hanya itu sahaja yang menyebabkan sahabat tadi begitu teruja. Akhir kalam, fikirkanlah dengan iman. Sememangnya mengakui kesilapan dan memberikan kemaafan adalah satu perkara yang amat berat, tetapi mungkin bukan untuk semua orang. Sebaik-baiknya semua urusan di dunia ini, selesaikanlah di dunia agar memudahkan pembicaraan di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak. Jika tidak diselesaikan di dunia, maka banyaklah urusan dengan pelbagai pihak di sana nanti menyebabkan penghisaban bertambah rumit. Jadi, memaafkan adalah jalan terpuji dan terbaik. Usahlah berdendam kerana ia merosakkan diri dalam kita beribadat kepada Allah s.w.t untuk menuju hari akhirat dan kehidupan kita di dunia akan lebih tenang.
🌷 والله أعلم🌷
