Islamic – Adab dan Sunnah #163

Adab dan Sunnah #163

Abu Waqid Laisi radiallahu anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sedang duduk di dalam masjid dan orang ramai berada di keliling baginda. Tiba-tiba datang 3 orang lelaki. 2 orang daripada mereka menuju kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan seorang lagi telah pergi.

Kedua-dua mereka berhenti berhampiran dengan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Salah seorang daripada mereka nampak tempat kosong dalam majlis itu lalu dia pun mengambil tempat dan duduk di situ. Seorang lagi telah duduk di belakang orang ramai sementara orang yang ketiga telah pergi.

Apabila Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam telah selesai daripada majlis tersebut baginda pun bersabda, “Tidakkah patut saya memberitahu kamu tentang ketiga-tiga orang tersebut? Seorang telah mengambil tempat di sisi Allah (duduk dalam majlis itu) maka Allah juga telah mengambil tempat untuknya (dalam rahmatNya). Yang kedua berasa malu (untuk duduk di tengah-tengah majlis) maka Allah juga malu terhadapnya yakni Allah tidak melepaskan dia daripada rahmatNya. Orang yang ketiga pula telah berpaling maka Allah juga telah berpaling daripadanya.”

Hadis Riwayat Bukhari

@islamitu_indah

Leave a comment